4 Puisi Mohd. Adid Ab. Rahman | Aku Hanya Seorang Lelaki - Suara Krajan

TERDAYAKAH AKU?
 
Terdayakah aku begini di sini
sebongkah batu kecil di tepian
tak peduli datangnya hempas ombak bertubi-tubi
cuaca sering bertukar ganti
sementara sengsara tak juga kunjung berhujung
mencapai mimpi tak sampai-sampai
tenaga usia makin menyempit
hanya sedikit menunggu habis
mengalah atau bertahan
berikan aku pedoman, Tuhan
 
Kukira hatimu tak biru
selalu pilih menghindar
sesayup pulau di tengah lautan
 
Melaka, Malaysia
26 JULAI, 2022
 
 

AKU HANYA SEORANG LELAKI
 
Aku hanya seorang lelaki
polos, sederhana dan tiada luar biasa
tertutup sudah ruang untuk dikagumi
 
Aku bukan sungai mengalir suburkan kebun-kebun
menyediakan ikan-ikan segar cukup proten
jadi tempat orang mandi-manda
bersihkan segala noda daki
pastinya hanya seorang lelaki
tak pernah serupa kaubayangkan
 
Hari demi hari berjerih payah menukar nasib
jika malam ada bulan
ada tempat berteduh kala hujan
hidup tak terlampau senyap
meriah walau tak mewah
 
77500 Selandar, Melaka
26 JULAI, 2022


DALAM SUNYI KESENDIRIAN

I
dalam sunyi kesendirian
kurambahi jejak-jejak lampau
malam dihindar bulan
kata-kata kabur sembunyikan makna
tak terdaya mempengaruhi orang banyak
hanya ada rindu
makin hari bertambah biru
 
II
kampung ditinggalkan seperti gubuk setelah ibu tiada
teringat kebaikan-kebaikan pernah dihulurkan tak terbalas tentu
tinggal bertenggang membisikkan doa kesejahteraan tanda cinta
selalu mendesak lekas pulang
cetuskan semangat gesit berjuang
memetik bintang di sini
termaktub dalam janji
seiring mimpi ibu ayah meski telah di pusara
tetap kujadikan satu fakta
 
15 OGOS 2022
 

RUPA-RUPANYA PERSEMBAHAN SANDIWARA DI PENTAS
 
Bersungguh-sungguh aku rawat jaga
sudah sekian musim kedamaian di sini
agar terus mekar segar meniti masa
namun kaudatang menabur racun
hanya sedetik saja suasana jadi porak-peranda
bertukar petaka
 
Mati-matian aku percaya kau insan baik
selanjutnya sukakan kebaikan
ibarat sungai mengalir sopan
jernih pula dingin
kebanyakan orang menaruh harapan sebagai pembimbing
rupa-rupanya persembahan sandiwara di pentas
tidak boleh dipercayai sama sekali
hakikatnya pengkhianat paling licik
demi menutup desakan angan buruk peribadi
jangankan orang lain, daging saudara sendiri pun
tega dilahap tanpa rasa bersalah
 
Melaka, Malaysia
16 OGOS 2022



==========================
Mohd Adid Ab Rahman bermukim di Melaka, Malaysia.  Pernah menimba ilmu di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dalam bidang Dakwah dan UTM, Skudai, Johor (Universiti Teknologi Malaysia). Berminat dalam bidang puisi sejak masih belajar di sekolah dan sekarang menjadi ahli Ikatan Persuratan Melayu Melaka.  Puisi-puisi pernah muncul di Berita Harian, Utusan Borneo, Harian Ekspres, Mingguan Malaysia, majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Wanita dan lain-lain.  Majalah online seperti Lamanriau.com, Potret Online com, Kosana.my.id., sksp-literary.com, Sabah360 online, Suarakrajan online dan Riausastra.com Sudah mempunyai puluhan antologi bersama di antaranya Antologi C Antagonis (ASWARA 2020) Bahtera Merdeka (Tinta Karya 2020) Pasrah (PTK 2020) Citra Yang Tak Padam (Narangkai Publications  2021) Sejernih Embun (KS 2021), Menjunjung Langit (Pena Padu 2022) Tangisan Tengkujuh (Pena Padu 2022)

Posting Komentar

Lebih baru Lebih lama

Formulir Kontak